"MEMANG patut tak lepas di Malaysia," komen spontan sebaik kami selesai menonton filem Muallaf di The Picturehouse, The Cathay Singapura semasa hari pertama tayangannya pada 29 November lalu.
Muallaf, filem kelima arahan Yasmin Ahmad belum ditayangkan di negara ini tetapi sudah dapat ditonton di negara itu.
Sehingga hari ini, filem arahan pengarah kontroversi itu terus tersadai di Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau dalam bahasa halus tidak diluluskan tayangannya di Malaysia.
Ini kerana Yasmin dikatakan enggan mematuhi arahan badan penapis itu supaya memotong beberapa adegan penting yang boleh mencetuskan sensitiviti agama di negara ini.
Peliknya, sambutan di Singapura begitu memberangsangkan apabila tayangan hari pertama penuh sesak sehinggakan penonton perlu membuat tempahan awal bagi mengelak kehabisan tiket.
Barangkali bagi penonton di sana, tarikan utama Muallaf adalah kerana hampir keseluruhan dialog dalam filem itu menggunakan bahasa Inggeris.
Sepanjang menonton filem ini, kami mencari kewajaran di mana letaknya kekhilafan Muallaf hingga dihukum sedemikian.
Jawapannya ditemui cukup mudah. Menerusi Muallaf, Yasmin semakin berani menongkah arus untuk mengangkat isu agama sebagai lambang perjuangannya dalam bidang seni.
Persoalan itu timbul berikutan sejauh mana sensitiviti agama diusik Yasmin yang memang terkenal dengan filem-filemnya yang melangkau budaya masyarakat Melayu seperti Sepet dan Gubra.
Bukan tidak pernah persoalan mengenai toleransi serta keterbukaan antara agama ditonjolkan di layar perak seperti Ridley Scott dalam filem berjudul Kingdom of Heaven. Nilai kemanusiaan merupakan keutamaan pengarah British itu berbanding perjuangan agama kerana kesudahannya, manusia sendiri yang akan mencorakkan perjalanan agama yang didukung mereka.
Dengan mengambil situasi peperangan yang mana berlaku konflik antara agama, Scott meletakkan harapan kepada kedamaian bersandarkan rasa toleransi manusia.
Menarik mengenai Muallaf pula, Yasmin tidak mengambil latar peperangan ataupun konflik yang sedia menjadi kelaziman untuk sesebuah filem yang ingin menegakkan perjuangan.
Pengarah kelahiran Muar, Johor itu memilih sebuah bandar raya Ipoh yang tenang dan kaya dengan keindahan landskap bangunan kolonial.
Dia juga memaparkan sikap masyarakat yang langsung tiada berbalah semata-mata mencintai kedamaian.
Dalam Muallaf, Yasmin menempatkan masyarakat berbilang agama dapat hidup dengan saling toleransi. Suntikan realiti yang diberikan pastinya memberi kesan namun persoalan samar yang diwujudkan terlalu halus sehingga mengguris hati dan sensiviti masyarakat khususnya Islam yang menjadi majoriti di negara ini.
Hampir semua watak utama di dalam filem Muallaf dilihat mahu mencari serta menegakkan kebenaran menerusi agama masing-masing.
Watak Rohana yang dibawa Sharifah Amani dan watak Rohani yang dibawa adiknya, Sharifah Alesha, masing-masing ingin mencari kebenaran daripada agama Islam yang menjadi junjungan mereka.
Mereka berpegang teguh terhadap agama Islam namun mereka juga mengeluh kerana jiwa mereka kosong dalam pengisiannya. Mereka berdua bagaimanapun dapat bersahabat baik dengan watak-watak lain dalam cerita ini yang berbeza agama terutamanya Brian dan Brother Anthony (paderi).
Perbincangan agama yang dirungkai mungkin terlalu ironi sehingga Rohani yang masih bersekolah dapat berhujah dengan menghafal ayah-ayat dari kitab Injil.
Yasmin memang menyusun baik kisahnya namun kewajaran daripada adegan serta dialog yang dipaparkan pasti menimbulkan kekeliruan bagi mereka yang cetek mengenai agama.
Hala tuju dari filem Muallaf ini pasti bertunjangkan kepada watak Brian yang dilihat sebagai insan yang paling kosong dalam jiwanya. Dia yang pernah mengalami trauma sewaktu kecil adalah titik tumpu kepada perjalanan filem ini.
Kecenderungannya adalah pada agama Islam namun dia datang daripada keluarga yang berpegang kuat kepada agama Kristian Katolik.
Keindahan Islam yang dilihat Brian, begitupun tidak datang terlalu menjurus kepada bentuk agama Islam itu sendiri, namun lebih kepada nilai kemanusiaan daripada Rohana dan Rohani.
Tidak dapat dinafikan, Yasmin telah memberikan hasil karya seninya yang terbaik menerusi Muallaf. Susunan plot filemnya itu seperti biasa adalah terlalu tenang berbanding sensitiviti ataupun kisah tersirat yang cuba dibawanya. Muallaf tidak boleh dikatakan sebagai filem dramatik, kerana unsur- unsur drama telah disunting dengan pantas.
Malah adegan Sharifah Amani yang terpaksa dibotakkan rambutnya hingga menjadi bahan sensasi pihak media boleh dikatakan tidak lebih daripada subplot semata-mata dan langsung tidak memberi kesan yang besar terhadap Muallaf.
Kebijaksanaan Yasmin adalah kepada ketelitian terhadap perkara-perkara yang orang sentiasa terlepas pandang dan kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam Muallaf. Malah setiap watak walaupun berperanan kecil tetap memberi kesan kepada perjalanan cerita Muallaf.
Dialog-dialog yang diberikan adalah tajam dan mampu memberi kesan di atas mesejnya yang tersurat dan tersirat. Mengambil daripada realiti dengan melontarkan pandangan mengenainya, Muallaf hanya memberikan persoalan bersama jawapan yang masih belum selesai.
Dari segi kemanusiaan, Muallaf adalah sebuah filem yang cukup indah kerana penuh nilai kasih sayang dan rasa saling memahami. Keinsafan adalah pada setiap manusia mengenai perkara ini, namun dukungan liberal yang terlampau halus dan mendalam inilah yang mengakibatkan garis terang yang memisahkan setiap agama bagai terkabur.
Sebagai seorang muslim, Yasmin gagal memberi keindahan sebenar mengenai wajah agama Islam yang menuntut jalan yang lurus. Imej Muallaf yang dilontarkannya adalah terlalu mengecewakan. Ini kerana terlalu banyak perkara yang diambil ringan maksudnya berbanding kesannya terhadap agama Islam.
Sewajarnya difahami, subjek agama yang diangkat dalam Muallaf tidak sepatutnya diletakkan dalam medium seni yang tidak pernah begitu jelas justifikasinya.
Semua pengarah melakukan kesilapan dan kesilapan Yasmin cuba menunjukkan semua agama menyuruh melakukan kebaikan dan dia mahu menyamaratakan semua agama untuk kelangsungan hidup. Realitinya, Islam tidak pernah sama dengan mana-mana agama!
0 wonderful voice(s):
Post a Comment